Warga emas diselamatkan APM dalam kejadian banjir kilat di Kampung Pasir. FOTO ihsan JPBD
Warga emas diselamatkan APM dalam kejadian banjir kilat di Kampung Pasir. FOTO ihsan JPBD
Mary Victoria Dass


TIGA warga emas diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) apabila rumah mereka di Kampung Pasir, Johor Bahru, dinaiki banjir kilat, 4.45 petang hari ini.

Pesakit angin ahmar, Senang Biduk, 73, adiknya, Bechek, 66, dan adik iparnya, Bunayah Ali, 64, masing-masing menghidap kanser payudara terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pusat Komuniti Kampung Pasir menggunakan lori.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru berkata, rumah diduduki mangsa dinaiki air akibat banjir kilat.

Katanya, mereka dipindahkan ke PPS Pusat Komuniti Kampung Pasir untuk sementara waktu.

"Kawasan terjejas termasuk Jalan Sukun, Jalan Limau Semikai, Jalan Limau Purut dan Kampung Pasir," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, hujan lebat sejak 1 tengah hari menyebabkan kawasan Permatang, Kempas, Johor Bahru dilanda banjir.

Beliau berkata, banjir kilat itu dipercayai berpunca daripada limpahan air pasang dan hujan lebat sehingga menyebabkan paras air meningkat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 7:03 PM