LAKSAMANA Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus menunjukkan lokasi kejadian bot pemancing karam berdekatan Pulau Satang Besar, Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
LAKSAMANA Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus menunjukkan lokasi kejadian bot pemancing karam berdekatan Pulau Satang Besar, Kuching. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tekong serta lapan pemancing yang dilaporkan hilang di laut selepas bot mereka karam semalam, ditemui secara berperingkat antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 4 pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, mangsa pertama iaitu tekong bot berkenaan yang hanya dikenali sebagai Baki ditemui terapung oleh sekumpulan nelayan yang kebetulan berada berdekatan kawasan kejadian.

Beliau berkata, selepas itu lapan mangsa yang lain iaitu Amri Abdullah, Mohd Asri Ibrahim, Muhammad Redzuan Rasul, Zaharudin Yusoff, Mohamad Faris Azizan, Mohd Firdaus Mohd Denan, Mohd Sahrin Sahir dan Rais Yahya turut ditemui terapung.

"Kesemua mangsa ditemui terapung di laut dengan memakai jaket keselamatan dan mereka kemudiannya dibawa ke jeti Telaga air pada jam 5 pagi tadi," katanya pada sidang media, hari ini.

Zin Azman berkata, seorang lagi iaitu pembantu tekong, Awang Omar Awang Hasmawi, 59, masih hilang dan gerakan mencarinya sedang giat dijalankan.

Mengulas lanjut, Zin Azman berkata, keadaan laut yang bergelora dipercayai faktor utama menyebabkan bot yang membawa 10 individu itu terbalik dan karam berdekatan Pulau Satang Besar, di Telaga Air, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat amaran ribut petir dan ombak setinggi satu hingga dua meter tengah hari semalam.

"Namun, keadaan cuaca baik pada waktu pagi ketika bot berkenaan meninggalkan jeti semalam.

"Dalam perubahan monsun sekarang, keadaan cuaca sukar diramal dan ombak besar yang berlaku tiba-tiba menyebabkan bot yang dinaiki semua mangsa hilang kawalan lalu karam kira-kira dua batu nautika dari barat laut Pulau Satang Besar," katanya.

Sementara itu, Zin Azman berkata, operasi turut dijalankan bagi mengesan satu lagi bot yang membawa lima pemancing yang dilaporkan tidak kembali ke jeti petang semalam.

"Kita percaya bot itu mengalami kerosakan dan pemilik bot berkenaan sering berhubung rapat dengan Maritim Malaysia," katanya.

Berita berkaitan:

  • Hiba teringat ayat suami sebelum ke laut
  • 9 pemancing selamat, seorang masih hilang
  • Lapan pemancing, dua kru bot hilang di laut
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 6:49 PM