Juwan Riduan


Tenom: Seorang lagi mangsa bot karam berjaya ditemui di Kampung Saliwangan Batu 64, Beaufort, di sini, pagi tadi.

Mangsa Joseph Sayah, 55, ditemui tersangkut di tebing sungai pada kira-kira 6.45 pagi oleh orang awam sebelum melaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.52 pagi.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu mengangkat mangsa.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati benar terdapat seorang mangsa lemas seperti yang dilaporkan pemanggil.

"Pasukan kemudiannya mengeluarkan mangsa yang tersangkut ditebing sungai menggunakan pengusung dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat terakhir itu ditemui kira-kira 37 kilometer dari lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat bot karam bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahahan Awam Malaysia (APM) tamat jam 8.55 pagi," katanya.

Khamis lalu, seorang mangsa yang hilang iaitu kanak-kanak berusia 12 tahun berjaya ditemui di Batu 60, kira-kira 34 kilometer dari lokasi kejadian.

Terdahulu, dalam kejadian jam 4 petang, Rabu lalu, kedua-dua mangsa hilang ketika menaiki bot bersama dua lagi mangsa terselamat di Sungai Padas, di sini, selepas membeli barangan keperluan di pekan Tenom.

Bot yang dinaiki dikatakan tiba-tiba terbalik disebabkan arus deras ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

Seorang lelaki warga emas lelaki dan wanita berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi mangsa hanyut sebelum hilang di bawa arus deras.

Anggota bomba mengusung mayat mangsa selepas ditemui tersangkut ditebint sungai.
Anggota bomba mengusung mayat mangsa selepas ditemui tersangkut ditebint sungai.

Berita berkaitan:

  • Mayat kanak-kanak bot karam ditemukan, seorang masih hilang
  • Bot karam, dua hilang, dua terselamat
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 12:16 PM