- Foto hiasan
- Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan terhadap individu yang didapati menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan ke atas pemilik akaun Instagram, Bukan_Bang_Jago yang didapati menghina YDPA, lagu Negaraku dan Jalur Gemilang.

"Melalui akaun itu, suspek memuat naik gambar diubah suai mengandungi wajah YDPA, lagu Negaraku yang diubah suai liriknya dan gambar bendera Malaysia yang mempunyai simbol komunis.

"Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Huzir turut meminta orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh mendatangkan kegusaran serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 8:06 PM