FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 3,638 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 145,084 kes atau 77.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 3,048 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara mencecah 186,849 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah 41,076 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 1,035 kes (34.0 peratus). Daripada jumlah ini, 720 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti Johor sebanyak 529 kes dan Sabah sebanyak 348 kes.

"Sebanyak 62 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Matambai (18 kes), Kluster Tembok Taiping (16 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (10 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes), Kluster Tembok Renggam (1 kes), Kluster Tembok Kemus (1 kes), dan Kluster Tropika (1 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lapan daripada keseluruhan kes baharu dilaporkan hari ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Selain itu, katanya, terdapat 261 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 101 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 11 kematian direkodkan membabitkan tiga kes di Sabah, Selangor (2), Sarawak (2) dan masing-masing satu kes di Kelantan, Pahang, Perak serta Kuala Lumpur.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 10 kes kematian membabitkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 7:13 PM