BERNAMA

Seremban: Walaupun memperakui terdapat perubahan dalam tahap kesedaran pengunjung ke Port Dickson mengenai kepentingan menjaga kebersihan pantai peranginan itu susulan pelaksanaan pelbagai kempen, Ahli Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia masih belum berada di tahap yang memuaskan.

"Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Majlis Perbandaran Port Dickson, kesedaran pengunjung itu ada, tetapi masih tidak memuaskan. Tindakan ketat perlu dikenakan...penguat kuasa harus menghukum kerana kita dah bagi berapa tahun kelonggaran (kepada pengunjung).

"Saya ingat langkah akhir adalah menghukum… satu sampah yang dicampak, harus ada hukuman yang setimpal," katanya dalam program Bicara Santai Ambang Tahun 2021 bersama Pegawai Daerah Port Dickson Khairy Maamor, hari ini.

Seruan yang sama turut disuarakan Anwar kepada peniaga kecil di kawasan berkenaan, agar mereka sentiasa menitikberatkan soal kebersihan bagi membolehkan kawasan itu terus menerima kunjungan ramai pelancong.

Program yang berlangsung selama 26 minit itu diadakan secara dalam talian dan disiarkan di laman media sosial Facebook rasmi Anwar dan Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.

Anwar Ibrahim ketika hadir merasmikan majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 - 2011 di Dewan Seminar, Institut Darul Ehsan. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Anwar Ibrahim ketika hadir merasmikan majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008 - 2011 di Dewan Seminar, Institut Darul Ehsan. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:50 PM