ICA Singapura menggagalkan cubaan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia. FOTO Bernama
ICA Singapura menggagalkan cubaan menyeludup dadah yang disembunyikan di dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia. FOTO Bernama
BERNAMA

Singapura: Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggagalkan dua cubaan berasingan untuk menyeludup kira-kira 15 kilogram (kg) dadah yang disembunyikan di dalam dua lori yang didaftarkan di Malaysia, melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dua pemandu warga Malaysia berumur 38 dan 44 tahun ditahan dan dibawa ke Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan, demikian menurut pihak berkuasa itu dalam kenyataan bersama di sini, hari ini.

Pada 18 Dis lalu, sebuah lori yang didaftarkan di Malaysia membawa bungkusan tauge dirujuk oleh pegawai ICA untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati terdapat tujuh bungkusan dadah terkawal mengandungi kira-kira 4,622 g heroin dan 521 g dadah jenis 'ice' di dalam lori tersebut.

Sementara itu, kes kedua pada 21 Dis membabitkan sebuah lori yang membawa perabot dan alat ganti kenderaan dan pegawai yang memeriksa kenderaan berkenaan merasa curiga apabila mengesan sesuatu yang ganjil dalam imej imbasan X-ray bungkusan yang diisytiharkan sebagai 'barangan peribadi.'

Ketika pemeriksaan lanjut, pegawai ICA menemukan bungkusan mengandungi 4,368 g 'ice', 5,110 g kanabis, 4,900 biji pil ekstasi dan 4,750 biji pil Erimin 5 yang disembunyikan di dalam perabot itu.

Penemuan dadah di pusat pemeriksaan itu membawa kepada operasi penguatkuasaan antidadah oleh CNB di beberapa lokasi di republik ini, menurut kenyataan itu.

Sebanyak 4,622 g heroin, 5,393 g 'ice', 5,482 g kanabis, 247 g ketamin, 5,111 biji pil ekstasi dan 5,383 biji pil Erimin 5 yang kesemuanya bernilai hampir S$2.3 juta berjaya dirampas.

Kenyataan itu memberitahu tujuh suspek berkaitan kesalahan dadah, terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berumur 20 hingga 55 tahun ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 12:32 PM