GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

PIHAK berkuasa Singapura menahan seorang lelaki warga Malaysia ketika dikatakan cuba menyeludup masuk enam bungkusan berisi kanabis ke negara itu, semalam.

Pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada 7.15 pagi apabila pegawai ICA mengarahkan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia menjalani pemeriksaan lanjut di pusat pemeriksaan Tuas, selepas mendapati pemandunya berusia 24 tahun kelihatan cemas.

Susulan pemeriksaan, pegawai ICA dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura menemui bungkusan kanabis itu tersembunyi di beberapa bahagian kereta berkenaan.

“Keseluruhan enam bungkusan itu dianggar seberat 2,353 gram, dengan nilai sekitar RM81,513 (S$27,000),” menurut ICA dan CNB dalam kenyataan itu.

Menurutnya, lelaki warga Malaysia itu ditahan dan kes diserahkan kepada CNB untuk siasatan lanjut.

Katanya, kanabis itu dianggarkan cukup untuk bekalan ketagihan 340 pengguna bagi tempoh seminggu.

Kanabis adalah dadah terkawal Kelas A yang disenarai di bawah Akta Salah Guna Dadah Singapura apabila pemilikan, penggunaan, edaran, import dan eksport sebarang dadah terkawal adalah menjadi satu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 8:57 PM