GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan akan menyiasat dakwaan berhubung kehadiran buaya di perairan Port Dickson (PD) seperti yang ditularkan melalui Facebook, semalam.

Pengarahnya, Wan Mat Wan Harun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara berkenaan.

Katanya, bagaimanapun pihaknya terlebih dahulu akan meneliti maklumat yang tular itu bagi memastikan kejadian itu benar-benar berlaku.

"Kami akan siasat terlebih dahulu sebelum mengesahkan ia berlaku di kawasan perairan Port Dickson," katanya, di sini, hari ini.

Wan Mat berkata, pihaknya akan membuat pengesahan apabila mendapat maklumat yang tepat mengenai penemuan reptilia itu.

"Orang ramai terutama pengunjung di pantai Port Dickson tidak perlu panik dan sekiranya ternampak sesuatu yang mencurigakan, segera melaporkan kepada kami (Perhilitan)," katanya.

Semalam, tular mengenai dakwaan ada individu ternampak buaya dipercayai di kawasan Bagan Pinang Port Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 11:09 AM