Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: China berpengalaman dalam membangunkan vaksin dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, negara berkenaan pernah mengeluarkan pelbagai vaksin pra berkelayakan seperti vaksin influenza, polio, hepatitis A dan japanese encephalitis (JE).

"Mereka ada pengalaman dari segi membuat vaksin. Berbeza kali ini adalah vaksin baharu (Covid-19), jadi perlu ada kajian fasa klinikal pertama sehingga ketiga," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan pihak yang menyebarkan risalah kononnya vaksin dibangunkan oleh China adalah tidak selamat.

DR Noor Hisham ketika sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham ketika sidang media harian situasi terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO Luqman Hakim Zubir

Risalah itu dikatakan diedarkan secara percuma kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.

Dr Noor Hisham menafikan dakwaan itu dan berkata, informasi yang disebarkan pihak berkenaan adalah tidak benar.

Sementara itu, beliau berkata, ketika ini terdapat 12 vaksin Covid-19 yang sedang dikaji dan berada di peringkat fasa klinikal ketiga.

Katanya, KKM masih memantau keberkesanan dan kesan samping penggunaan vaksin itu serta menunggu penyerahan vaksin kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 7:46 PM