AZHAN (tengah) melihat pokok ganja yang dirampas polis. FOTO  Essa Abu Yamin
AZHAN (tengah) melihat pokok ganja yang dirampas polis. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


TIDAK sangka pokok ganja itu hidup. Itu jawapan tiga lelaki yang ditahan polis kerana menanam pokok ganja di Semerah, Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 1 tengah hari.

"Pokok ganja setinggi sekitar 61 sentimeter itu ditemui selepas seorang suspek menunjukkan lokasi pokok itu ditanam di kebun kelapa sawit berhampiran rumah berkenaan.

"Terdahulu polis merampas motosikal yang dilaporkan hilang di Parit Jawa, Muar dan beberapa paket lutsinar yang dipercayai berisi syabu serta sepaket helaian kering tumbuhan dipercayai ganja.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan ketiga-tiga suspek positif dadah dan tiada rekod kesalahan lampau selain permohonan tahanan reman sedang dilakukan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, hari ini.

Azhan berkata, semua suspek didakwa mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dipenjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Sementara itu, dalam kes berlainan, polis berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 30 tahun ketika mengendalikan perjudian atas talian dalam serbuan di sebuah rumah di bandar Batu Pahat, 10.20 malam tadi.

Azhan berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai peranti yang dijadikan akses untuk mengendalikan perjudian atas talian antaranya set komputer, telefon bimbit, kad sim, mesin kira-kira, kamera litar tertutup, modem, papan putih dan buku catatan yang mengandungi maklumat disyaki rekod perjudian.

"Hasil siasatan mendapati sindiket dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda boleh sampai RM50,000 bagi setiap peranti yang dirampas atau penjara boleh sampai tiga tahun, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 4:06 PM