PERMAISURI Agong (dua kanan) membaca surah Yasin selepas solat maghrib pada Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah. FOTO Bernama
PERMAISURI Agong (dua kanan) membaca surah Yasin selepas solat maghrib pada Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 6.55 petang disambut anak Allahyarhamah, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Tunku Azizah berkenan menunaikan solat maghrib diikuti bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin imam Masjid Ar-Rahah Khairul Haffiz Abd Halim.

Seri Paduka kemudiannya berkenan menunaikan solat isyak yang diimamkan Khairul Haffiz sebelum meluangkan masa bersantap dan berangkat meninggalkan majlis pada 9.40 malam.

Hanya sebilangan kecil jemaah hadir pada malam ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ekoran penularan wabak Covid-19.

Tun Rahah, 87, meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, pada Jumaat dan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara di Lingkaran Makam Pahlawan Masjid Negara, semalam.

Tun Rahah adalah isteri perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 11:26 PM