Mercu tanda Langkawi iaitu Burung Helang. FOTO arkib NSTP
Mercu tanda Langkawi iaitu Burung Helang. FOTO arkib NSTP
Hamzah Osman


Langkawi: Jumlah kedatangan pelancong ke pulau peranginan ini mencatatkan penyusutan sebanyak 50 peratus pada tahun ini, sekali gus terendah dalam tempoh enam tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr Ahmad Hezri Adnan berkata, dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, hanya 1.5 juta pelancong tiba di Langkawi berbanding 3.9 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Sebenarnya, sasaran kita lima juta pelancong (datang ke Langkawi), tapi penularan Covid-19 yang menjangkau sehingga gelombang ketiga menyebabkan kita mencatat 1.5 juta pelancong sehingga akhir Oktober lalu.

"Dalam tempoh berbaki kira-kira dua minggu untuk tamatkan 2020, angka itu pasti kekal terendah sejak 2014," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Langkawi Selamat: Pembudayaan Norma Baharu Cegah Covid-19 di pekarangan Masjid Darussalam Kampung Nyior Chabang, di sini, hari ini.

DR Ahmad Hezri Adnan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada seorang penduduk sempena program Langkawi Selamat. FOTO Hamzah Osman
DR Ahmad Hezri Adnan (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pelitup muka kepada seorang penduduk sempena program Langkawi Selamat. FOTO Hamzah Osman

Turut hadir, Imam Masjid Darussalam, Mansor Azmi.

Sementara itu, Ahmad Hezri berkata, program berkenaan bertujuan memastikan masyarakat terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) untuk memerangi penularan pandemik Covid-19.

"Kempen ini disasarkan kepada seluruh rakyat bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti untuk melindungi diri, keluarga serta komuniti masing-masing.

"Seboleh-bolehnya kita mahu kekalkan Langkawi sebagai zon hijau supaya aktiviti pelancongan dapat berjalan dan membantu penduduk menjana semula pendapatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 4:50 PM