Nasaruddin (kanan) meninjau program komuniti Hari Mahsuri di Holiday Beach Villa, Pantai Tengah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Nasaruddin (kanan) meninjau program komuniti Hari Mahsuri di Holiday Beach Villa, Pantai Tengah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Penerbangan pertama membawa pelancong asing sempena Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi dijangka bermula 3 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, penerbangan terus pertama itu tiba dari Singapura.

"Penerbangan pertama itu membawa kira-kira 200 penumpang dan dijangka tiba di pulau ini pada 3 Disember nanti.

"Pada minggu itu, dua penerbangan lain dari Singapura turut memasuki Langkawi," katanya selepas meninjau program komuniti Hari Mahsuri di Holiday Beach Villa, Pantai Tengah di sini, hari ini.

Nasaruddin berkata, LADA menjangkakan beberapa penerbangan sewa khas turut tiba menjelang percutian musim sejuk pada pertengahan Disember ini.

"Untuk tempoh itu, LADA mensasarkan 5,000 pelancong asing akan mengunjungi pulau ini sehingga akhir tahun ini bawah program itu.

"Secara purata seramai 150 pelancong asing akan memasuki pulau ini sehari dan menjana pendapatan sebanyak kira-kira RM24.5 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:56 PM