GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Hamzah Osman

Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merayu kerajaan melonggarkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di pulau peranginan itu bagi membantu sektor pelancongan yang semakin nazak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Hezri Adnan berkata, rayuan itu dibuat susulan kata sepakat hasil perbincangan bersama pemain industri yang kini rata-rata tiada pendapatan dan berisiko gulung tikar.

"Kerajaan diminta menimbang untuk melonggarkan sedikit PKPB di Langkawi yang 70 peratus kegiatan ekonomi penduduknya bergantung kepada aktiviti pelancongan.

"Kalaulah dibenarkan keluarga di Langkawi naik empat orang bagi satu kereta, dapatlah mereka melawat ke tempat pelancongan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Rintis Komuniti Pertanian Bandar Berskala Kecil (PRKPBBK), di sini, hari ini.

Hezri berkata, pemain industri pelancongan turut menghantar surat supaya LADA memanjangkan rayuan itu kepada pihak berkuasa.

"Sekitar Ogos lalu, sebenarnya sudah ada peningkatan kemasukan pelancong yang baik ke pulau ini, namun apabila pelaksanaan PKPB di Lembah Klang, Langkawi menjadi lengang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 6:21 PM