(DARI KIRI) Dr Hezri Adnan, Radzuan Osman dan Amerrudin Ahmad tertarik melihat lukisan mural pada majlis perasmian Program Street Art@Pandak Mayah 2.0 di Pekan Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
(DARI KIRI) Dr Hezri Adnan, Radzuan Osman dan Amerrudin Ahmad tertarik melihat lukisan mural pada majlis perasmian Program Street Art@Pandak Mayah 2.0 di Pekan Kuah, Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Suasana Jalan Pandak Mayah di Pekan Kuah, di sini, yang suram kini berubah ceria apabila dihiasi kira-kira 10 lukisan mural kontemporari bertemakan sejarah, legenda dan mitos sebagai daya tarikan pelancongan baharu.

Program Street Art@Pandak Mayah 2.0 itu dilaksanakan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Balai Seni Negara (NAG).

Ketua Pegawai Eksekutif LADA Dr Hezri Adnan berkata, lukisan mural berkenaan dihasilkan 12 pelukis NAG menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan sedia ada di pulau pelancongan itu.

"Ia menjadi tempat tumpuan pelancong untuk berswafoto, sekali gus membantu mempromosi Langkawi dalam media sosial," katanya.

Perasmian disempurnakan bersama oleh Dr Hezri, Yang Dipertua MPLBP Radzuan Osman dan Ketua Pengarah NAG, Amerrudin Ahmad, di sini, hari ini.

Sementara itu, Radzuan berkata, program itu adalah pendekatan terbaharu menjadikan Pekan Kuah lebih meriah menyamai suasana di Pantai Chenang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 3:16 PM