BURUNG Helang yang diambil ketika berada di atas cruise, Sea Falcon. FOTO arkib NSTP
BURUNG Helang yang diambil ketika berada di atas cruise, Sea Falcon. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Langkawi: Langkawi kekal sebagai zon hijau Covid-19 dan pelancong tidak perlu risau untuk ke pulau peranginan ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di 28 mukim di daerah Kota Setar bermula 11 September lalu tiada kaitan dengan Langkawi yang turut mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tinggi.

Menurutnya, usaha LADA dan pemain industri untuk menarik pelawat ke pulau peranginan itu selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri mula menunjukkan hasil dengan kira-kira 82,000 orang mengunjungi Langkawi pada Jun lalu.

PETUGAS Selfie Ria: 'Selfie Museum The Dessert Series' bergambar di hadapan lokasi tarikan terbaharu itu di Oriental Village, hari ini. FOTO Bernama
PETUGAS Selfie Ria: 'Selfie Museum The Dessert Series' bergambar di hadapan lokasi tarikan terbaharu itu di Oriental Village, hari ini. FOTO Bernama

"Pada Julai lalu, jumlah meningkat kepada 189,000 dan kita lihat trend yang sama pada Ogos, namun pelaksanaan PKPD sedikit-sebanyak menjejaskan usaha yang dilakukan mungkin kerana ada kekhuatiran dalam kalangan pelancong.

"Ini tidak benar, aktiviti pelancongan di Langkawi masih berjalan seperti biasa, kita berada dalam zon hijau tidak harus ada kegusaran atau risau dalam kalangan pengunjung untuk datang ke Langkawi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran 'Selfie Ria:Selfie Museum The Dessert Series' di Oriental Village di sini, hari ini.

"Oleh itu, saya nak mengajak pengunjung yang bercadang untuk melancong ke Langkawi terus datang ke sini, kita selamat 'and it's fun to be here' (seronok berada di sini)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 3:32 PM