ABDUL Aziz (dua kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Asma Abd Muthaklib sambil diperhatikan Saipolyazan (kanan). FOTO MUHD ASYRAF SAWAL.
ABDUL Aziz (dua kanan) menyampaikan sumbangan bantuan kepada Asma Abd Muthaklib sambil diperhatikan Saipolyazan (kanan). FOTO MUHD ASYRAF SAWAL.
Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my


Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan pelbagai jenis bantuan sejak 2010 kepada sebuah keluarga besar yang mempunyai 28 anak di Klang, yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M Yusop berkata, berdasarkan rekod pihaknya, keluarga itu sudah menerima pelbagai bantuan daripada agensi berkenaan termasuk bantuan kewangan bulanan, makanan, sewa rumah, modal, persekolahan anak, raya serta kecemasan.

Bagaimanapun, beliau berrkata, terdapat sebahagian anaknya tidak bersekolah justeru sesi kaunseling serta induksi akan dilakukan kepada ketua keluarga serta ibu anak berkenaan.

"Induksi dan kaunseling ini supaya mereka dapat mengubah kehidupan kerana ia antara Rangka Tindakan (Blueprint) yang digariskan dalam pembangunan asnaf di Selangor.

"Mereka akan diberikan motivasi termasuk perlu menandatangani akur janji untuk berubah.

"Manakala, anak yang tercicir di sekolah menengah akan dibantu dengan mencari kursus vokasional dan latihan teknikal bersesuaian dalam membantu meningkatkan potensi mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Terdahulu, sebuah keluarga besar yang mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan seorang lelaki bersama empat isteri yang hidup dalam keadaan tidak kondusif tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan netizen.

Saipolyazan berkata, pihaknya akan melihat semula keperluan keluarga itu daripada segi menyediakan kemudahan dan keselesaan supaya anak tidak tercicir daripada persekolahan.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan kebanyakan kes tertentu ditularkan adalah kisah berulang yang sememangnya asnaf sudah disantuni LZS.

"Kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor sudah tahu termasuk Ebit Lew, Syed Azmi dan Cikgu Fadil.

"Mereka yang akan memeriksa dengan kita sebelum ditularkan," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, LZS menerima zakat perniagaan berjumlah RM7.7 juta daripada 24 syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 9:00 PM