Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 dengan merekodkan 1,295 kes dengan tujuh kematian hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 87,913 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan 14,751 kes.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan terdapat 10 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara pula adalah sebanyak 1,285 kes.

"Jumlah kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 1,052 kes dan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya 72,733 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 481 kes dan daripada jumlah ini, sebanyak 356 kes adalah dari kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Sabah yang melaporkan sebanyak 268 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 232 kes dengan 57 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 113 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 53 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan dalam negara antara 0.9 hingga 1.1 dan KKM masih berharap angka itu diturunkan kepada 0.3 hingga 0.5 untuk melandaikan lengkung jangkitan.

"Kadar kebolehjangkitan masih rendah daripada jangkaan dan KKM berharap jumlah itu dapat diturunkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:57 PM