BAZLAN Abd Rahman memantau kawasan Pantai Pengkalan Maras yang musnah kerana hakisan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
BAZLAN Abd Rahman memantau kawasan Pantai Pengkalan Maras yang musnah kerana hakisan. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Kerja membaik pulih dan menambak kawasan yang terjejas kerana hakisan di Pantai Pengkalan Maras di sini sudah dimulakan sejak semalam.

Penduduk, Azhar Arifin, 38, berkata, dia berharap kerja baik pulih serta langkah menangani masalah hakisan yang sedang dijalankan itu berjaya menyelamatkan pantai daripada terus terhakis.

"Saya berasa sedih melihat kesan hakisan di sepanjang pantai akibat dipukul ombak berapa hari lalu. Kawasan pantai itu ialah tempat saya bermain dan berkelah tetapi sekarang musnah dan ditenggelami air.

"Air laut sudah menenggelamkan sebahagian besar kawasan pantai yang sebelum ini menjadi tempat orang ramai bersantai bersama keluarga. Banyak kawasan pesisir pantai yang musnah dan terbaru tanah perkuburan dan kedai makan.

Menurutnya, sebelum ini pengunjung dari luar dan dalam negeri datang untuk melihat keindahan pantai sambil merakam gambar namun sekarang tidak lagi.

"Sebagai pengunjung tetap di pantai itu, saya memang berasa sedih melihat kemusnahan pantai secara berperingkat pada setiap tahun. Pantai ini mula terhakis sejak tiga tahun lalu," katanya.

Abdullah Awang, 65, dari Kampung Padang Nenas berkata, dia berharap kerja baik pulih dan menambak batu di kawasan hadapan tanah perkuburan itu segera disiapkan.

"Dibimbangi berlaku air pasang besar akan menyebabkan kemusnahan teruk ke atas tanah perkuburan lama di situ.

"Saya memang tidak pernah menjangka pantai itu akan mengalami hakisan seteruk itu. Sejak daripada kecil saya mengunjungi pantai itu untuk menjalani pelbagai aktiviti termasuk berkelah oleh itu seperti tidak percaya ia musnah sekarang," katanya.

Tambahnya, kawasan pantai itu luas dan jauh daripada air, tetapi sekarang semuanya ditelan ombak.

"Berkemungkinan keadaan pantai itu akan mengalami kerosakan lebih teruk sekiranya kerja menambak pantai itu lambat disiapkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman berkata, kerja baik pulih dan langkah pencegahan pantai itu sudah dijalankan melalui peruntukan segera sebanyak RM800,000.

"Kerja baik pulih sedang giat dijalankan bermula semalam terutama di kawasan Tanah Perkuburan Lama Kampung Pengkalan Maras yang hampir terhakis itu.

"Kira-kira 15 kilometer bermula daripada Pantai Tanjung Gelam hingga ke Pantai Pengkalan Maras sudah terhakis pada musim tengkujuh sejak 10 tahun lalu.

Sudah banyak rumah, bangunan, kedai, taman permainan yang musnah kerana masalah hakisan itu," katanya.

Menurutnya, tanah perkuburan juga bakal terhakis sekarang dan dijangka akan turut musnah sekiranya berlaku fenomena air pasang besar berserta angin dalam tempoh terdekat.

"Kami berterima kasih kerana kementerian menyalurkan peruntukan kecemasan bagi menyelesaikan masalah berkenaan dan diharap ia membantu mengatasi dan menyelamatkan kawasan pantai daripada musnah dipukul ombak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 10:54 AM