Pusat komersial pelancongan di B5 Johor Street Market.
Pusat komersial pelancongan di B5 Johor Street Market.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengarahkan pusat perniagaan B5 Johor Street Market, Tampoi ditutup tujuh hari bermula semalam susulan kes jangkitan wabak Covid-19 di premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, ia bagi membolehkan proses nyah cemar dan sanitasi menyeluruh dilakukan di premis berkenaan.

"JKNJ sudah mengeluarkan notis penutupan sementara terhadap B5 Johor Street Market mulai 13 Disember hingga 19 Disember ini," katanya ketika dihubungi.

Malam tadi, notis penutupan pusat perniagaan itu tular media sosial sehingga menyebabkan penduduk sekitar resah.

B5 Johor Street Market terletak berhadapan Angsana Johor Bahru Mall, adalah pusat perniagaan baharu yang menawarkan pelbagai produk termasuk kraftangan, pakaian dan makanan yang turut diisi dengan aktiviti kesenian.

Pada 7 Disember lalu, JKNJ turut mengeluarkan notis penutupam sementara Angsana Johor Bahru Mall sehingga hari ini berikutan penularan wabak Covid-19 di premis berkenaan.

Sementara itu, B5 Johor Street Market di dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan pusat perniagaan berkenaan akan hanya dibuka seperti biasa pada 20 Disember, selepas proses sanitasi dan nyah cemar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:46 PM