Anggota APM Baling menangkap ular tedung  selar.
Anggota APM Baling menangkap ular tedung selar.
Safuri Kamarudin

Baling: “Sudah tiga hari saya mendengar dengusan di bawah rak kasut tetapi tidak mengendahkannya, namun pagi tadi (semalam) saya terkejut apabila isteri memaklumkan ternampak kelibat ular menyusur ke tempat menyimpan kasut,” kata Rozaini Abd Ghani, 51.

Rozaini dari Kampung Padang Setol, Tawar berkata, isterinya, Fardiana Md Yusuf, 34, keluar rumah kira-kira jam 8 pagi untuk menyiram pokok bunga dan ternampak kelibat ular menyusur di bawah rak kasut ketika ingin masuk semula ke dalam rumah.

“Saya terus menutup pintu depan kerana bimbang ular masuk ke dalam rumah dan hanya melihat melalui tingkap.

“Saya menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan bagi menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah terdengar bunyi dengusan di rumahnya tetapi tidak menyangka ular tedung berada di kawasan rumahnya.

“Mungkin keadaan cuaca panas menyebabkan reptilia itu menjadikan rumah penduduk sebagai tempat berlindung,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya mengambil masa 15 minit untuk menangkap tedung selar terbabit.

“Empat anggota menangkap ular seberat enam kilogram (kg) dan empat meter panjang itu. Sepanjang Mac ini, kami sudah menangkap enam ular,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:22 AM