GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan berkompromi dalam isu kartel daging import sekiranya benar ia wujud.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu bagi memastikan dalang yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

Katanya, KPDNHEP sudah menjalankan siasatan menyeluruh kes itu mengikut bidang kuasa kementerian di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kerana penyalahgunaan logo halal dan cap dagangan palsu oleh syarikat pengimport daging sejuk beku terbabit.

Namun, pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama dengan PDRM dan agensi berkaitan bagi menyiasat sehingga ke lubang cacing sekiranya wujud rangkaian sindiket di sebalik kes berkenaan.

"Ada kemungkinan (wujud sindiket) tetapi kita tidak tahu betul atau sebaliknya dan sekiranya betul, kita minta pihak berkuasa menyiasat bagi menentukan kebenaran.

"Tugas KPDNHEP adalah untuk siasat dan ambil tindakan daripada sudut penyalahgunaan logo halal atau penggunaan cap dagangan palsu yang menjadi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita akan melakukan siasatan menyeluruh di bawah bidang kuasa KPDNHEP dan jika berlaku aktiviti jenayah, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang lain," katanya.

Sebelum itu, PDRM tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti penyeludupan oleh kartel daging import membabitkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, ia berdasarkan jumlah rampasan dan nilai sitaan dibuat sebelum ini.

Sementara itu, Rosol turut membidas kenyataan segelintir pihak yang memutar belit kenyataannya terutama berkaitan tindakan kementerian yang tidak mendedahkan jenama dan syarikat yang disiasat dalam kes berkenaan sehingga kes dibawa ke mahkamah.

"Tindakan itu bukan untuk melindungi syarikat yang disiasat dalam kes berkenaan sebaliknya perlu bersikap adil kepada syarikat pemilik sebenar jenama yang menjadi mangsa apabila cap dagangannya ditiru dan disalahgunakan untuk penipuan cap dagangan dan logo halal.

"Dakwaan mengatakan kementerian melindungi dalang dan VIP (golongan kenamaan) dalam kes ini adalah fitnah kerana hakikatnya dalang kes sudah ditangkap dan disiasat serta bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 3:07 PM