SULTAN Nazrin Shah berkenan berangkat pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah. FOTO BERNAMA
SULTAN Nazrin Shah berkenan berangkat pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Kangsar: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Empat daripada Adun berkenaan mengekalkan jawatan Exco di bawah pentadbiran sebelum ini, iaitu Datuk Zolkafly Harun (BN-Lintang); Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup); Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (BN-Kampung Gajah) dan Khairul Shahril Mohamed (BN-Bota).

Seorang lagi yang mengangkat sumpah jawatan adalah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik).

Pelantikan kelima-lima Adun itu mendapat perkenan daripada Sultan Nazrin selepas nama mereka dipersembahkan oleh Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad kepada baginda.

Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Zainol Fadzi, diikuti Zolkafly, Shahrul Zaman, Dr Wan Norashikin dan Khairul Shahril.

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Hisham Hashim.

Terdahulu, Adun Kota Tampan, Saarani, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-14.

Pada sidang media sulung sebagai Menteri Besar Perak, Saarani berkata, istiadat mengangkat sumpah perlu disegerakan bagi membolehkan Mesyuarat Exco dijalankan seterusnya meneliti dan meluluskan Belanjawan 2021 negeri.

Barisan Exco Perak terbubar selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada 5 Disember lalu, selepas beliau gagal mendapat sokongan menerusi usul 'keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar' sehari sebelum itu.

Menerusi usul itu yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Jumaat lalu, Ahmad Faizal hanya mendapat 10 undi sokongan berbanding 48 menentang manakala satu berkecuali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 5:18 PM