NELAYAN Vietnam yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman kerana memenangkap ikan dalam perairan negara.  FOTO IHSAN APMM
NELAYAN Vietnam yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kemaman kerana memenangkap ikan dalam perairan negara. FOTO IHSAN APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang tekong Vietnam didenda RM300,000 di Mahkamah Sesyen Kemaman kerana menceroboh perairan negara untuk mencuri hasil laut.

Tertuduh, Vu Truong Giang, 33, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu dalam prosiding semalam, selepas Vu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Mahkamah turut memerintahkan bot serta peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia, manakala 11 kru bot berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam Bahasa Melayu atau Inggeris mengenai nama, bendera, lokasi, jalan dan destinasi kapal berkenaan serta keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika menceroboh perairan negara pada 16 Ogos lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lagi tekong, Tran Van Lam, 55, dijatuhi hukuman denda RM400,000, manakala 14 awak-awaknya didenda RM40,000 setiap seorang kerana menangkap ikan dalam perairan negara.

Azman membuat keputusan itu selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Sekyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Tran bersama 14 awak-awak didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Oktober lalu.

Azman turut memerintahkan bot dan segala peralatan menangkap ikan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 6:04 PM