Bot nelayan Vietnam yang diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang. FOTO  Maritim Malaysia
Bot nelayan Vietnam yang diusir Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang. FOTO Maritim Malaysia
Asrol Awang


Kuantan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengusir keluar tiga bot nelayan Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara di tiga posisi berbeza, antara 43 hingga 48 batu nautika timur dari Pulau Tioman, semalam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, semua bot berkenaan dikesan pesawat udara Bombardier CL415 MP ketika melaksanakan rutin pengawasan udara di perairan Pahang antara jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

Katanya, maklumat pencerobohan itu kemudian disalurkan kepada KM Mulia yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut.

"Sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, bot nelayan asing itu menukar haluan mereka menuju ke perairan antarabangsa dan KM terus mengusir keluar dari sempadan perairan Malaysia.

"KM Mulia kekal berkawal di kawasan berkenaan bagi memastikan bot-bot berkenaan tidak menceroboh kembali.

"Pengusiran ini adalah tindakan sementara sepanjang tempoh pencegahan penularan Covid-19 bagi mengekang kewujudan kluster baharu di lokap tahanan dan mengelak risiko jangkitan kepada petugas barisan hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, APMM Pahang akan terus komited menjaga perairan daripada pencerobohan dan orang ramai yang mempunyai aduan boleh melaporkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 mahupun MRSC Kuantan 09-5717368.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 5:31 PM