Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Dalam usaha kesiapsiagaan menghadapi peningkatan dan pengendalian kes Covid-19 di Sabah pada tahap optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah hospital, pusat kuarantin dan katil di negeri itu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Hospital Marudu adalah hospital terbaharu yang dijadikan sebagai pusat merawat pesakit Covid-19 di Sabah.

Justeru katanya, KKM kini mempunyai tujuh hospital untuk merawat kes Covid-19 yang memerlukan penjagaan perubatan.

"Penambahan fasitili, hospital KKM di Sabah akan dapat menyediakan lebih kemudahan penjagaan rawatan rapi bagi pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima.

"Sebanyak 946 katil ditambah bagi semua tujuh hospital terbabit serta menambah enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"KKM kini mempunyai 16 PKRC bagi merawat kes Covid-19 yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori satu dan dua). Dengan itu, PKRC di Sabah kini mempunyai sejumlah 3,876 katil," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, kapasiti keseluruhan KKM di Sabah melonjak kepada 4,834 katil berbanding sebelum ini iaitu 2,596 katil.

Menurutnya, kadar penggunaan katil buat masa ini ialah 30 peratus dan masih boleh menampung pertambahan kes.

Bagi langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah, Dr Adham berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyediakan Hospital Medan di Tawau.

"Kemudahan itu membolehkan pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau terus mendapat rawatan. Hospital Medan ini khususnya menyediakan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.

"Langkah itu akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes Covid-19 kategori lima hingga lima, manakala kes bagi kategori satu dan dua pula akan terus ditempatkan PKRC.

"Perancangan awal adalah bagi menempatkan 100 katil di Hospital Medan ini," katanya.

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 6:18 PM