Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Minat dalam pembuatan kostum mendorong Abdullah Hasan Othman untuk menceburi bidang itu sejak tiga tahun lalu dan sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang arkitek.

Abdullah, 31, atau lebih dikenali dengan nama Abudora dalam kalangan pemain cosplay sanggup bekerja sepenuh masa dalam bidang itu biarpun pernah bergelar penolong arkitek dan memiliki Diploma Rekaan Dalaman lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak.

Menurut Abdullah, cabaran utamanya adalah meyakinkan ibu bapanya yang mahu dia meneruskan legasi keluarga dalam bidang arkitek.

"Saya pernah bekerja sebagai penolong arkitek selama dua tahun sebelum berhenti kerana tidak berasa boleh teruskan dalam bidang berkenaan.

"Ketika bekerja lagi, saya sudah maklumkan kepada ibu dan ayah yang saya tidak cenderung dalam bidang itu tetapi agak sukar juga untuk meyakinkan mereka.

"Namun, saya berjaya membuktikan kepada mereka yang bidang pembuatan kostum ada masa depan menerusi hasil kerja dan pulangan diterima dalam bidang ini," katanya ketika ditemui Harian Metro di studionya yang terletak di Taman Melawati, di sini.

ABDULLAH membuat kostum di bengkelnya. FOTO Asyraf Hamzah
ABDULLAH membuat kostum di bengkelnya. FOTO Asyraf Hamzah

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pengalaman bekerja di sebuah syarikat pengurusan acara di ibu kota dan studio perfileman, Pinewood Iskandar Malaysia di Johor banyak membantu mengasah kemahirannya dalam bidang pembuatan kostum.

Selain itu, Abdullah turut mengutip ilmu daripada komuniti pemain cosplay yang dikenalinya sejak 12 tahun lalu.

"Selain menghasilkan kostum, saya juga adalah pemain coslay dan pernah menjadi juri dalam program 'Cosplay Heroes' yang ditayangkan di iflix.

"Minat menjadi pemain cosplay itu tercetus selepas diajak seorang rakan untuk bekerja sebagai penjaga 'booth' sempena acara karnivel filem di sebuah pusat beli belah.

"Di situlah permulaan saya dapat berkenalan dengan pemain cosplay lain," katanya.

Abdullah berkata, pendapatan diterimanya tidak menentu kerana bergantung kepada tawaran kerja diterima daripada pelanggan yang terdiri daripada individu perseorangan dan syarikat korporat.

Namun, secara purata, Abdullah boleh meraih antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap bulan dan kemungkinan lebih banyak pada musim tayangan filem dan perayaan .

Ia hasil kepakarannya menghasilkan kostum yang dijual antara RM1,500 hingga RM5,000 setiap satu manakala helmet pula serendah RM150 hingga RM500.

"Cuma, tahun ini agak mencabar terutama selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

"Ini kerana sebelum itu, banyak tawaran sudah diterima malah saya sudah membeli bahan untuk menghasilkan kostum tetapi acara pula terpaksa ditangguhkan kerana PKP.

"Ada pelanggan menuntut semula wang mereka kerana acara yang terpaksa ditangguhkan hingga saya menanggung kerugian tetapi saya masih bertahan kerana menerima tempahan daripada individu perseorangan membantu. Alhamdulillah, keadaan kembali stabil sejak Oktober lalu," katanya.

Abdullah berkata, dia tidak terfikir untuk berhenti sebaliknya mahu terus melangkah ke hadapan kerana melihat potensi yang ada dalam bidang berkenaan.

"Sekarang, sudah ramai yang menceburi bidang ini cuma mungkin segelintir melakukannya secara sambilan kerana mempunyai pekerjaan tetap.

"Selama bergiat sepenuh masa dalam bidang ini, saya masih boleh cari makan. Masalah itu ada tetapi ia lumrah dalam apa jua bidang sekalipun.

"Harapan saya kini adalah melihat pandemik reda supaya kerana apabila keadaan kembali pulih, acara dapat diadakan dan pelanggan mula membuat tempahan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 8:02 PM
ABDULLAH bersama kostum yang dihasilkannya. FOTO Asyraf Hamzah
ABDULLAH bersama kostum yang dihasilkannya. FOTO Asyraf Hamzah