GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu, hari ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan di Kelantan ia membabitkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu daerah yang terbabit ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Dalam tempoh itu, kejadian angin kencang boleh berlaku terutamanya di kawasan pantai di negeri-negeri pantai timur Semenanjung," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di negeri-negeri pantai barat Semenanjung iaitu Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dijangka mengalami kejadian ribut petir dan hujan lebat berserta angin kencang terutamanya pada waktu petang sehingga awal malam.

Turut mengalami keadaan cuaca itu ialah kawasan pedalaman Pahang, barat Sabah dan barat Sarawak yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah serta kerosakan kepada struktur yang tidak kukuh.

Selain itu, angin kencang timur laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang dalam tempoh itu yang boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai serta muara sungai kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 9:04 AM