GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
GAMBAR hiasan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Negeri di bahagian pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak diramal menerima hujan lebat dan angin kencang bermula 3 Oktober ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian itu akan berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam berikutan fasa peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang berterusan sehingga November ini.

"Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

"Kejadian ini berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

"Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada sepanjang tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia, 1300221638 bagi sebarang pertanyaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:07 PM