GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mulai esok, semua pekerja kilang warga asing diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai permulaan ujian akan menumpukan kawasan berisiko tinggi di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

Menurutnya, beberapa kilang terbabit sudah dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Syarikat terbabit dikehendaki menyediakan stesen kuarantin (QS) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bersesuaian serta pengangkutan bagi membawa pekerja ke QS dan PKRC.

"Syarikat juga perlu menanggung kos saringan, pengurusan QS dan PKRC, saraan makan minum serta penginapan pekerja," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, sekiranya terdapat pekerja dikesan positif Covid-19 hasil ujian RTK Antigen dan tiada gejala, mereka boleh ditempatkan di asrama pekerja dengan pengasingan daripada pekerja negatif.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan asrama tidak bersesuaian pekerja perlu ditempatkan di PKRC disediakan oleh majikan.

"Selain itu, pekerja positif ujian RTK Antigen dan mempunyai gelaja ringan perlu ditempatkan di PKRC manakala pekerja positif dengan mempunyai gelaja serius perlu dimasukkan ke hospital.

"Bagi pekerja disahkan positif melalui ujian rT-PCR pula perlu ditempatkan di PKRC atau dimasukkan ke hospital," katanya.

Katanya, semua pesakit yang discaj perlu dipakaikan gelang pengawasan berwarna selain warna gelang perintah pengawasan (HSO) untuk membezakan pekerja yang sedang dalam kuarantin.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 6:52 PM