GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my


Jasin: Sebuah sekolah tahifz di Chenderah di sini, terpaksa ditutup tujuh hari susulan jangkitan kes Covid-19 membabitkan pelajar dan guru pusat berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, mereka yang didapati positif kini sedang menjalani tempoh kuarantin wajib.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin sudah melakukan saringan kepada semua pelajar dan staf di sekolah berkenaan.

"Dimaklumkan terdapat beberapa pelajar asrama serta cikgu yang positif Covid-19 dan mereka sudah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

"Mereka dalam keadaan yang sihat dan hanya mengalami simptom ringan sahaja," katanya tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

"Pengurusan sekolah berasrama perlu mewajibkan setiap individu yang masuk ke sekolah melakukan ujian RTK Covid-19 yang mengambil masa tidak sampai 10 minit.

"Ujian RTK berkala secara rawak juga perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan selain dapat memastikan keselamatan serta kesihatan anak-anak yang belajar terjamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:29 PM