Noh Omar (tengah) menunjukkan beras yang bakal diedarkan kepada golongan asnaf di Bagan Tengkorak, baru-baru ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Noh Omar (tengah) menunjukkan beras yang bakal diedarkan kepada golongan asnaf di Bagan Tengkorak, baru-baru ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) diminta menimbang semula penetapan harga maksimum benih padi sah pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram berkuatkuasa musim tanaman pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri Tan Sri Noh Omar berkata, penetapan itu membebankan dan merugikan pesawah di negeri ini yang sepatutnya boleh mendapatkan benih padi sah di pintu kilang pada harga RM28.

"Penetapan harga ini mungkin boleh dipraktikkan di negeri lain yang terpaksa membeli benih padi pada harga melebihi RM35.

"Di Selangor, kita ada kilang mengeluarkan benih padi, malangnya pesawah tidak dibenarkan membeli benih padi dari kilang berikutan kerajaan melantik Nafas sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah," katanya.

Beliau ditemui selepas program lawatan kerja Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Pusat Pukal Padi di Kampung Parit Empat, di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, isu berkenaan turut dimaklumkan kepada Tengku Zafrul ketika lawatannya ke Parlimen itu.

"Beliau (Tengku Zafrul) akan membawa isu ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Noh mengingatkan Nafas supaya lebih fleksibel tidak terlalu mendadak memberi ruang kepada pesawah untuk membeli benih padi dari kilang sedia ada yang sah.

"Jika petani boleh dapat harga (pintu kilang), biarlah mereka uruskan sendiri.

"Seandainya harga kilang lebih daripada RM35, mereka boleh membuat pembelian benih padi melalui Nafas," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menetapkan harga maksimum benih padi sah pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram berkuat kuasa musim tanaman pertama, Januari tahun ini.

Penetapan harga itu bertujuan menghapuskan manipulasi pihak tertentu selain memastikan pesawah mendapat hasil yang tepat.

Harga berkenaan juga bakal memberi manfaat kepada kira-kira 320,000 pesawah di seluruh Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 3:23 PM