Zaid Salim

Kuala Terengganu: Lelaki warga emas berusia 70 tahun yang uzur diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat selepas rumahnya di Kampung Binjai, Chendering, di sini, dinaiki air setinggi satu meter.

Ketua Operasi JPBM Pegawai Bomba Kanan II Mokhtar Dollah berkata, warga emas terbabit yang tinggal bersama isteri, anak dan menantu serta tiga cucu itu diselamatkan jam 9 malam.

"Hujan lebat selama tiga jam bermula sejak 6 petang menyebabkan kawasan berkenaan yang terletak di kawasan lembah dinaiki air setinggi satu meter.

"Kita membantu mengeluarkan mangsa menggunakan bot kerana warga emas berkenaan mengalami sakit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mokhtar berkata, sebanyak tiga rumah di kawasan itu dinaiki air namun hanya keluarga berkenaan dipindahkan.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

Sementara itu, mangsa Zamri Ahmad, 40, berkata, paras air naik pada 7 malam.

"Saya terpaksa telefon bomba ekoran paras air semakin meningkat dan kawasan dapur serta ruang tamu rumah dimasuki air," katanya.

Katanya, buat masa ini, dia bersama keluarga akan tinggal sementara di rumah tumpangan di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 12:34 AM
Penduduk berada di halaman rumahnya yang dinaiki air di Kampung Binjai Chendering malam ini. FOTO Ghazali Kori
Penduduk berada di halaman rumahnya yang dinaiki air di Kampung Binjai Chendering malam ini. FOTO Ghazali Kori