Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Enam kanak-kanak antara 141 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Imigresen di Plaza Hentian Kajang, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mohamad Fauzi Md Isa berkata, seramai 333 pegawai dan anggota JIM bersama anggota penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan beberapa agensi lain terbabit dalam operasi bermula 8 pagi.

"Operasi ini dijalankan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Plaza Hentian Kajang akan ditamatkan, tengah malam ini.

"Seramai 2,600 individu diperiksa termasuk 1,900 warga asing dan kami menahan 141 Pati terdiri daripada 77 lelaki, 58 wanita serta enam kanak-kanak.

"Mereka yang ditahan berusia antara satu hingga 51 tahun membabitkan Pati dari Indonesia (65), Myanmar (59), Nepal (9) serta lain-lain negara (8)," katanya ketika ditemui di Plaza Hentian Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat, Najmuddin Jemain.

Mohamad Fauzi berkata, semua Pati ditahan itu didapati melakukan dua kesalahan iaitu tinggal lebih masa serta salah guna pas.

Beliau berkata, semua Pati itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pihaknya giat menjalankan operasi bagi menahan Pati di seluruh negara meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagi tempoh Januari lalu hingga semalam, sebanyak 6,347 operasi dilakukan di seluruh negara yang membawa kepada penahanan 34,649 Pati.

"Selain itu, kami turut mendakwa 376 majikan yang didapati menggaji dan melindungi Pati sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi atau menggaji Pati bagi mengelak berdepan dengan tindakan undang-undang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Pati atau boleh membantu JIM melaksanakan tindakan penguatkuasaan diminta tampil untuk tindakan lanjut.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang bermula 28 Oktober lalu hingga hari ini susulan peningkatan kes positif di kawasan terbabit.

Beliau memaklumkan seramai 7,500 penduduk di kawasan berkenaan terbabit dengan pelaksanaan itu.

SEBAHAGIAN warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu di PKPD Plaza Hentian Kajang, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
SEBAHAGIAN warga asing diperiksa dalam operasi bersepadu di PKPD Plaza Hentian Kajang, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 1:32 PM