DR Wan Junaidi (dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada peserta yang menyertai pameran pada Bicara Ilmu "Niaga Tani Pintar, Jana Income Steady". FOTO BERNAMA
DR Wan Junaidi (dua, kiri) menyampaikan bantuan kepada peserta yang menyertai pameran pada Bicara Ilmu "Niaga Tani Pintar, Jana Income Steady". FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyediakan program bagi membangunkan usahawan tani kalangan belia khususnya bagi membantu mereka mengaplikasikan teknologi dalam pertanian moden.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia selaras dengan matlamat MEDAC untuk membantu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara.

Beliau berkata, program yang disediakan itu bukan sekadar menyediakan latihan asas tetapi juga menyediakan bantuan kewangan, bimbingan dan pengawasan berterusan sehingga usahawan tani itu berjaya mengeluarkan hasil tanaman yang mampu menampung keperluan makanan tempatan.

"Ini antara yang MEDAC sedang usahakan sekarang kerana kita mahu melahirkan petani moden yang mampu membantu meningkatkan penghasilan makanan negara berasaskan kaedah pertanian pintar menggunakan teknologi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Bicara Ilmu "Niaga Tani Pintar, Jana Income Steady" di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, pihaknya bukan sahaja menyediakan latihan serta bantuan modal malah akan mendapatkan kerjasama kerajaan negeri bagi menyediakan tapak bagi usahawan tani itu membuka ladang mereka.

"Kita mahu mereka yang terlatih itu memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan mereka untuk menyumbang kepada sektor pertanian yang sememangnya amat diperlukan untuk menampung bekalan makanan negara," katanya.

Mengenai Program Bicara Ilmu "Niaga Tani Pintar, Jana Income Steady" anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKM) itu, beliau berkata ia inisiatif kerajaan melalui MEDAC untuk memberi pendedahan kepada usahawan dan anggota koperasi menjana pendapatan melalui pertanian moden dengan penggunaan teknologi IR4.0.

"Program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berjaya dalam koperasi dan membantu meningkatkan sumbangan KDNK sektor koperasi dengan menggunakan sepenuhnya teknologi dalam pengurusan pertanian moden.

"MEDAC sentiasa memberikan komitmen tidak berbelah bagi dalam usaha untuk memperkasakan gerakan koperasi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang menyasarkan sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM100 bilion menjelang tahun 2030," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 4:36 PM