NUR Afia Qistina (tengah) bersama ahli keluarganya ketika ditemui di rumahnya, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NUR Afia Qistina (tengah) bersama ahli keluarganya ketika ditemui di rumahnya, semalam. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Kuala Pilah: "Saya seronok apabila ibu beritahu saya pemenang tempat pertama anugerah 'The Tuanku Bainun Young Changemakers Awards 2020'," kata Nur Afia Qistina Zamzuri, ketika ditemui di rumahnya di Kuala Kepis, di sini, semalam.

Nur Afia, 9, berkata, pengiktirafan itu mungkin kerana sumbangannya menjadi sukarelawan menjahit alat pelindung peribadi (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan (frontliner) menyentuh hati banyak pihak.

"Bagi saya, ramai lagi yang berjasa dan saya cuma tolong jahit PPE saja, bukan bagi duit tolong orang, namun saya sangat hargai (anugerah) dan seronok sangat.

"Ibu kata, kalau tidak masalah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mungkin kami sudah menerima anugerah ini di Kuala Lumpur, Jumaat lalu tetapi cuma mendapat tahu selepas dihubungi penganjur.

"Saya rasa teruja mahu beritahu kawan dan cikgu di sekolah, tetapi sekarang cuti dan semua ini (kemenangan) saya membawa nama sekolah dan Negeri Sembilan," kata murid tahun tiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kepis, Kuala Pilah.

Nur Afia muncul pemenang bagi kategori usia enam hingga 12 tahun dan meraih Anugerah 'The Tuanku Bainun Young Changemakers Awards 2020' yang diumumkan melalui YouTube secara langsung, Jumaat lalu.

Ibunya, Hasnah Hud, 38, berkata, dia rasa terharu dan tidak menyangka Nur Afia dipilih menerima anugerah terbilang itu.

"Saya bersyukur sebab anak saya dimaklumkan pemenang pertandingan, berkat kesabaran dia melakukan kerja amal membantu barisan hadapan (frontliner).

"Anugerah ini pastinya membanggakan kami sekeluarga dan pada masa sama, rasa bersyukur serta teruja kerana ia sebagai sumber inspirasi untuk Nur Afia lebih cemerlang di masa hadapan.

"Nur Afia rajin membantu ketika menyiapkan pakaian PPE kerana dia berhasrat untuk turut menyumbang sesuatu untuk masyarakat dan negara," katanya yang bekerja sebagai Pembantu Pengurusan Murid Pra-Sekolah di SK Felda Kepis.

Beliau berkata, sebelum ini, Nur Afia yang juga anak sulung daripada tiga beradik mendapat Anugerah Pingat Hang Tuah peringkat Negeri Sembilan.

Menurutnya, Nur Afia mula belajar menjahit sejak usia lima tahun dengan menjahit sarung bantal sebelum memberanikan diri menyertai projek menjahit PPE secara sukarela.

Katanya, dia kemudiannya menjadi sukarelawan dengan menyertai program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah untuk membantu frontliners.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media pihak penganjur, Anugerah Tuanku Bainun Young Changemakers 2020 tahun ini buat pertama kalinya secara langsung atas talian YouTube sempena dengan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020.

Empat kategori dipertandingkan ialah kategori 6 - 12 tahun (Individu), 13 - 17 tahun (Individu), 6 - 18 tahun (Kumpulan Projek) dan 18 tahun ke atas.

Pengerusi Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tuanku Bainun, Yang Teramat Mulia Raja Datuk Seri Azureen Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kenyataannya bertitah, pihaknya memuji usaha dilakukan anak untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 12:11 PM