Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Sebanyak 77 syarikat berkaitan industri hotel dan resort menamatkan perniagaan sejak Mac hingga Oktober tahun ini.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia membabitkan kod 55101 hingga 55109 dengan 32 syarikat terbabit dalam penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela.

Beliau berkata, 57 syarikat dengan kod 79110 iaitu 'travel agency avtivities', kod 79120 iaitu 'tour operator activities' dan kod 79900 iaitu 'other reservation services and related activities' sudah menamatkan perniagaan.

"Manakala penggulungan oleh mahkamah dan penggulungan secara sukarela untuk syarikat dengan kod sama adalah sebanyak 38 syarikat.

"Pada masa sama, jumlah syarikat pengusaha pelancongan yang memohon lesen baharu dan diluluskan dari Mac hingga 31 Oktober 2020 sebanyak 135 syarikat," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Parlimen, hari ini.

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) meminta kerajaan menyatakan jumlah hotel dan syarikat pelancongan yang gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun ini.

Nancy berkata, kerajaan mengumumkan beberapa pakej rangsangan ekonomi untuk meringankan beban rakyat dan kelangsungan perniagaan termasuk penggiat industri pelancongan.

Beliau berkata, pada masa sama, kementeriannya menyediakan kemudahan pembiayaan seperti Tabung Infrastruktur Pelancongan (TIP) menerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).

"Selain itu, Tabung Khas Pelancongan (TKP) diuruskan Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) bagi membantu pengusaha pelancongan untuk membangunkan dan mengembangkan produk dan projek pelancongan.

"Inisiatif ini boleh membantu penggiat industri pelancongan dan yang berkaitan untuk terus mampan dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 12:31 PM