Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menggesa pemimpin wanita untuk meneruskan usaha mereka mendapatkan peluang lebih besar dalam proses membuat keputusan negara.

Dalam titah ucapannya pada Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), di sini, hari ini, baginda mengingatkan semua bahawa suara wanita adalah suara yang harus dihormati.

Titahnya, tidak boleh dinafikan wanita banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan negara selama ini.

"Wanita mewakili 50 peratus daripada jumlah pengundi di seluruh dunia, namun begitu, wanita hanya menyumbang dua peratus di peringkat menteri (di Malaysia).

"Oleh itu, di sinilah dan mengapa wanita perlu menuntut (untuk perwakilan wanita yang lebih besar dalam membuat keputusan dan penggubalan dasar negara)," titah Tunku Azizah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada masa sama, Tunku Azizah bertitah, wanita juga perlu memainkan peranan utama sebagai watak pendamai kepada negara untuk membawa keamanan dalam keadaan situasi yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Ogos 2022 @ 2:28 PM
TUNKU Hajah Azizah (lima dari kanan) bergambar bersama Tan Sri Dr Sharifah Hapsah (empat dari kanan) pada majlis pelancaran buku‘ Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Masa Kini, sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda hari ini.  FOTO Rohanis Syukri
TUNKU Hajah Azizah (lima dari kanan) bergambar bersama Tan Sri Dr Sharifah Hapsah (empat dari kanan) pada majlis pelancaran buku‘ Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Masa Kini, sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-60 di Dewan Perdana Felda hari ini. FOTO Rohanis Syukri