Maiamalina Mohamed Amin dan Yusmizal Dolah Aling


"YANG Berhormat (YB) bukan menteri lagi, jadi YB tak menerima semua (laporan ini)... kami yang terima laporan rasmi," kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau menyelar tindakan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang mempersoalkan data yang dibacakan Nancy pada sesi bagi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nancy memaklumkan ketika ini banyak hotel dan motel mula beroperasi susulan promosi pelancongan domestik dan merekodkan antara 70 ke 100 peratus kadar penginapan seperti dimaklumkan pemain industri termasuk Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Bagaimanapun, ia disangkal Muhammad Bakhtiar yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang menurutnya kadar penginapan hanya sekitar 31 peratus menyebabkan dibidas Nancy.

"Kami mendapat maklumat daripada pelbagai pihak, MAH satu daripadanya. Yang menerima laporan ini setiap minggu, setiap hari adalah Motac (kementerian) bukan YB," katanya.

Terdahulu, beliau berkata, kerajaan menjangkakan sektor pelancongan pulih mulai akhir tahun dengan pelbagai promosi dilakukan dan pakej ditawarkan industri.

Ketika penularan Covid-19, katanya, industri pelancongan negara mengalami kerugian RM45 bilion sehingga Jun lalu, merangkumi penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara perniagaan.

Katanya, daripada jumlah itu, kementeriannya mengunjurkan kerugian segmen pelancong antarabangsa melebihi RM32 bilion, manakala bagi sektor domestik, anggaran kerugian adalah sebanyak RM31 bilion.

"Berdasarkan statistik Motac, bagi tempoh Januari hingga Mac lalu, perbelanjaan pelancong antarabangsa merekodkan penurunan sebanyak 41.5 peratus daripada RM21.4 bilion pada 2019 kepada RM12.5 bilion.

"Ini termasuklah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan ekoran aktiviti perniagaan yang tidak boleh dijalankan, pemotongan gaji serta pembatalan tempahan produk pelancongan seperti hotel dan pakej pelancongan," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai kerugian pendapatan ditanggung industri akibat Covid-19.

NANCY Shukri ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah.
NANCY Shukri ketika sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen. FOTO Asyraf Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 1:45 PM