Md Som bimbang banjir termenung di kediamannya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO HASAN OMAR
Md Som bimbang banjir termenung di kediamannya di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal dekat Alor Gajah. FOTO HASAN OMAR
Hassan Omar


Alor Gajah: "Sudahlah rumah kami dinaiki air, sekarang kami terpaksa pula berhadapan dengan masalah 'banjir termenung' yang mengambil masa lama untuk surut," ujar penghuni kediaman di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, Md Som Dol, 63.

Menurutnya, penduduk terpaksa menghadapi masalah itu sejak jam 6 petang Jumaat lalu apabila banjir melanda kampung berkenaan.

"Kediaman saya adalah antara rumah penduduk kampung itu yang masih belum mencatatkan penurunan paras banjir berbanding kediaman penduduk kampung lain yang sudah surut pagi semalam.

"Keadaan itu meresahkan saya, isteri dan empat anak berikutan banjir masih menenggelamkan dapur," katanya tadi.

Pesara syarikat swasta itu berkata, kediamannya jarang dinaiki air walaupun penduduk di kampung lain dilanda banjir beberapa kali sebelum ini.

"Kali terakhir rumah kami dilanda banjir adalah lima tahun lalu. Namun banjir surut dengan cepat," katanya.

Md Som memberitahu, banjir turut menenggelamkan Kampung Pulau dan Panchor yang terletak berhampiran.

Katanya, ketiga-tiga kampung berkenaan berada pada lokasi rendah dan memudahkan air dari sungai berhampiran melimpah setiap kali hujan lebat berlaku.

Sehubungan itu, beliau merayu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendalamkan anak sungai berhampiran kediamannya bagi membantu pengaliran air, sekali gus membantu banjir surut dengan cepat.

Sementara itu, Kamariah Mohd Ali, 53, berkata, keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan penduduk resah sekiranya banjir akan terus berulang sepanjang bulan November dan Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 6:38 PM