GAMBAR pada 19 Oktober menunjukkan banjir di  Kampung Seri Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR pada 19 Oktober menunjukkan banjir di Kampung Seri Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin


“PENAT mencuci rumah kelmarin masih belum hilang. Semalam, rumah saya sekali lagi ditenggelami air bercampur lumpur dan selut,” kata penduduk Kampung Seri Sentosa, Ijok, Hairul Razid Mohamad Seri, 36.

Dalam kejadian terbaru pada 5.30 petang kelmarin, banjir sedalam satu meter menenggelamkan kawasan kampung yang didiami kira-kira 200 penduduk di kawasan berkenaan.

Banjir yang berlaku dalam tempoh tidak sampai 24 jam itu menyebabkan air banjir turut memasuki kediaman dan menenggelamkan perabot serta perkakas rumah Hairul dan penduduk lain.

Hairul yang bekerja sendiri berkata, dia terkejut dengan kejadian mendadak itu.

“Saya sangkakan cuaca mulai pulih dan banjir beransur surut. Malah, saya sekeluarga tidak ke mana-mana untuk bergotong-royong membersihkan kediaman.

“Namun, hari ini saya terpaksa mengerah tenaga mencuci rumah terutama di bahagian lantai dan dinding,” katanya.

Hairul berkata, banyak perkakas rumahnya yang sudah dicuci terpaksa dibuang selepas lumpur menenggelamkan tilam, perabot dan alat elektrik.

Menurutnya, bulan ini sahaja, kampung itu dinaiki air sebanyak 10 kali dan sebanyak tiga kali penduduk kampung dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Desa Coalfields.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Wagiman, 71, berkata, hujan yang berterusan selama tiga jam semalam menyebabkan banjir menenggelamkan bahagian bawah kediamannya.

“Saya dan keluarga segera naik ke tingkat dua kediaman sebaik air melimpah memasuki rumah. Kejadian banjir ini adalah yang terburuk pernah berlaku sejak 2007,” katanya yang menetap di kampung itu hampir 35 tahun.

Dakwa Mohamad, banjir itu berpunca daripada projek perumahan yang terlalu pesat berhampiran kawasan kampung.

“Sungai di kampung ini semakin sempit dan tidak mampu menampung air lebihan dari beberapa kawasan seperti Sungai Buloh dan Damansara terutamanya waktu hujan.

“Jika hujan berterusan lebih tiga jam di Sungai Buloh, kawasan rendah di kampung ini mula dinaiki air secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Mohamad berkata, masalah itu seharusnya ditangani segera termasuk melaksanakan projek tebatan banjir.

“Pembangunan boleh dijalankan di kawasan perumahan elit sekitar kawasan ini. Tetapi, jangan lupa penduduk di kampung tradisional ini.

“Malah, pihak bertanggungjawab perlu mendalam dan melebarkan lagi sungai serta membina benteng penahan banjir supaya limpahan air sungai tidak melimpah masuk ke rumah penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019 @ 11:26 AM