TAPIR dewasa yang terperangkap sebelum dipindahkan anggota Perhilitan Selangor.
TAPIR dewasa yang terperangkap sebelum dipindahkan anggota Perhilitan Selangor.
Amirul Aiman Hamsuddin


Putrajaya: Berhempas pulas hampir lima jam bagi mengangkat dan memindahkan tapir dewasa yang terperangkap di dalam lubang di kawasan Bukit Raja, Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor.

Dalam operasi jam 11.30 pagi semalam, tapir jantan seberat 300 kilogram itu ditemui berada di dalam perangkap lubang yang dibina khusus oleh pihak Perhilitan bagi menyelamatkan spesis hidupan liar dilindungi itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, seramai 25 kakitangan Perhilitan Selangor terbabit dalam operasi menyelamatkan tapir itu.

Menurutnya, tapir itu diselamatkan pihak Perhilitan Selangor melalui program menyelamat tapir di Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah.

"Usaha memindahkan tapir yang terperangkap di dalam lubang berselut itu dilakukan beramai-ramai sebelum tapir berjaya dimasukkan ke dalam kotak pindah pada jam 3.30 petang.

"Tapir itu kemudian dibawa menaiki pacuan empat roda ke kawasan Rizab Hidupan Liar di Sungai Dusun, Selangor," katanya.

Menurutnya, setibanya di lokasi, kotak pindah itu diturunkan beramai-ramai sebelum penutup kotak itu dibuka bagi membolehkan tapir itu keluar bebas di habitat asal.

"Usaha ini dilakukan Perhilitan Selangor bagi memastikan haiwan liar ini berada di kawasan habitat yang selamat. Ini berikutan kes tapir dilanggar kenderaan semakin kerap berlaku kebelakangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 6:34 PM