GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) komited untuk mempergiatkan konservasi Tapir Malaya secara in-situ dan ex-situ bagi memastikan kelangsungan spesies unik itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini populasi Tapir Malaya yang menjadi satu daripada spesies ikonik di Malaysia, semakin terancam kerana kehilangan habitat, fragmentasi hutan, mangsa jerat atau kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, sebanyak 92 Tapir Malaya menjadi mangsa kemalangan jalan raya di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Terengganu.

"Pada tahun 2020 sahaja, sebanyak 24 Tapir Malaya dilaporkan mati akibat kemalangan jalan raya dan trend ini semakin membimbangkan.

"Justeru bagi meningkatkan semula populasi Tapir Malaya di Semenanjung Malaysia, Perhilitan menjalankan program pembiakan dalam kurungan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun, Selangor untuk dilepaskan ke habitat asal.

"Ketika ini terdapat sebanyak 11 Tapir Malaya di PKHL Sungai Dusun dengan purata kelahiran anak seekor setahun," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Tapir Sedunia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, Perhilitan turut mengadakan kerjasama strategik konservasi Tapir Malaya dengan Nagasaki Biopark, Jepun.

"Bagaimanapun konservasi Tapir Malaya bukanlah menjadi tugas KeTSA dan Perhilitan sahaja tetapi turut menjadi tanggungjawab semua," katanya.

Beliau berkata, Tapir Malaya adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Di peringkat antarabangsa, katanya, Tapir Malaya adalah spesies yang terancam di dalam senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species dan Redlist of Mammals for Peninsular Malaysia 2017.

Justeru sempena sambutan Hari Tapir Sedunia yang disambut setiap 27 April, beliau menyeru semua pihak supaya berganding bahu memperhebatkan usaha memulihara Tapir Malaya.

"Saya percaya kita dapat bersama memulihara Tapir Malaya untuk generasi masa depan," katanya.

Beliau berkata, Hari Tapir Sedunia diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memulihara spesies Tapir dan habitatnya di seluruh dunia.

Katanya, ini adalah tahun ke-13 Malaysia meraikan Hari Tapir Sedunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 10:24 AM