SENTIASA memegang etika kerahsiaan, jujur dan empati ketika menjalankan tugas.
SENTIASA memegang etika kerahsiaan, jujur dan empati ketika menjalankan tugas.
Muhamaad Razis Ismail


Baru-baru ini tular di media sosial, seorang wanita disapa bekas kliennya bernama Azlan di luar sebuah premis perniagaan.

Biarpun mengalami masalah kesihatan mental kesan daripada penagihan dadah, Azlan masih mengenali Nadia Muhammad Hazmi yang pernah menjaganya sepanjang berada dalam tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching, Sarawak sembilan tahun lalu.

Sentuhan Nadia, membuatkan insan 'istimewa' ini yang masih mengenang budi dan jasa individu yang menjaganya sehingga ramai pihak tersentuh.

Kisah Azlan antara 1,001 pengalaman yang dihadapi Nadia sepanjang berkhidmat selama 16 tahun dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah.

Sempena meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac setiap tahun, kali ini Wanita Metro (WM) ingin mengetengahkan individu hebat ini yang tidak mengenal erti penat dan jemu membantu golongan penagih dadah untuk kembali berfungsi dalam masyarakat.

Anak jati Kuching, Sarawak yang menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Maklumat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, dia tidak menyangka terpilih untuk berkhidmat dengan AADK pada 2007.

Katanya, dia kemudian mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi manusia untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang kaunseling yang amat diperlukan untuk berkhidmat dalam menyantuni klien 'dual-diagnosis' di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Kuching, Sarawak sebagai Pegawai Pemulihan Narkotik.

NADIA memberi ceramah motivasi rawatan dan pemulihan narkotik dalam institusi.
NADIA memberi ceramah motivasi rawatan dan pemulihan narkotik dalam institusi.

"Penagihan dadah menyebabkan individu sukar untuk berfungsi dalam kehidupan sehariannya sekali gus memberi kesan kepada bagaimana individu itu turut memberi kesan negatif kepada keluarganya, di tempat kerja dan hilang kefungsian masyarakat.

"Kita sedia maklum bahawa proses rawatan dan pemulihan bagi penagihan dadah memerlukan usaha sepanjang hayat kerana dikategorikan sebagai penyakit kronik yang akan berulang dan berpanjangan. Memang ada antara penagih dadah terpaksa bergantung dengan dadah untuk terus hidup,

"Bagaimanapun kami tetap yakin bahawa individu yang terjebak dengan penagihan dadah akan pulih dengan kekuatan dan kehendak diri mereka sendiri yang turut dibantu sokongan keluarga dan masyarakat untuk meneruskan kehidupan serta mengekalkan kepulihan mereka dalam komuniti," katanya.

Menurutnya, visi AADK ialah mengembalikan penagih dadah sebagai individu yang berfungsi.

"Kita sedia maklum, ramai yang memandang hina dan meletakkan stigma kepada penagih dadah yang dilihat tidak boleh lagi berfungsi atau tidak mungkin pulih atau sentiasa mengganggu ketenteraman awam.

BERSAMA warga Puspen Kuching yang mempunyai visi dan misi sama dalam membantu penagih dadah.
BERSAMA warga Puspen Kuching yang mempunyai visi dan misi sama dalam membantu penagih dadah.

"Bagaimanapun di AADK dan PUSPEN, kami tetap meletakkan harapan dengan membuka ruang dan peluang untuk mereka keluar daripada dunia penagihan supaya kembali berfungsi dengan pendekatan yang bertepatan dengan keperluan pemulihan sekarang yang tertumpu dengan dadah sintetik yang boleh memberi kesan terhadap kesihatan mental dalam masa singkat," katanya,.

Katanya, misi AADK adalah menyediakan khidmat rawatan dan pemulihan secara menyeluruh dan bersepadu

"Ini termasuk menangani isu penyakit yang dihidapi penagih dahulu termasuk membabitkan fizikal dan mental sebelum melengkapkan diri mereka dengan kemahiran melalui latihan vokasional serta rohani dan spiritual supaya mereka boleh bekerja untuk menyara keluarga dan kembali berfungsi dalam masyarakat dengan pendekatan modul i-Pulih yang diguna pakai di PUSPEN seluruh Malaysia.

"Bagaimanapun setiap kes yang kita terima adalah unik dan berbeza dari segi latar belakang, pendidikan dan jenis dadah yang diambil. Oleh itu, kita perlu cuba selaraskan pendekatan ini mengikut keperluan mereka.

"Pada masa sama, kita turut menggunakan pendekatan agama atau moral, supaya mereka mempunyai pegangan yang lebih kuat sekali gus mengelakkan daripada kembali hanyut dengan dadah," katanya.

TURUT membantu unit perubatan membuat saringan pandemik Covid-19.
TURUT membantu unit perubatan membuat saringan pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebagai wanita, beliau cenderung menggunakan pendekatan kasih sayang kerana rata-rata penagih ini terjebak dengan dadah kerana kurang mendapat perhatian keluarga.

"Kebanyakan pesakit di sini berdepan masalah kurang kasih sayang dan perhatian keluarga serta terabai di rumah sehingga membuatkan mereka rasa hilang arah dan terjebak dengan penagihan dadah," katanya.

Beliau berkata, sebagai wanita, antara cabaran yang dihadapi adalah apabila berdepan dengan pesakit lelaki yang kebanyakannya masih memiliki ego yang tinggi dalam diri.

"Bagi pesakit lelaki, untuk meluahkan perasaan dan keterbukaan agak sukar dan terhad. Bagaimanapun dengan pendekatan keprihatinan dan kasih sayang yang digunakan, akan mewujudkan rasa selesa serta kepercayaan untuk mereka meluahkan permasalahan berkaitan penagihan dan masalah peribadi yang sedang dihadapi.

"Dalam hal ini, saya memegang etika kerahsiaan, jujur dan empati. Walaupun mereka adalah penagih, kita perlu hormat mereka sebagai seorang insan yang mempunyai privasi ," katanya.

MEMBERI kaunseling awalan dan bimbingan kepada klien.
MEMBERI kaunseling awalan dan bimbingan kepada klien.

Jelasnya pada masa sama, beliau perlu bijak mengawal diri dan profesional dalam menjalankan tugas, apabila perlu bermain dengan emosi berikutan pelbagai isu luar yang dihadapi pesakit yang sedang dalam proses pemulihan.

"Saya akui kadang kala turut beremosi apabila ada dalam kalangan pesakit yang kematian ibu bapa atau isteri menuntut cerai. Masalah yang berlaku di luar ini sangat mencabar bagi mereka yang sedang berusaha untuk pulih.

"Bagaimanapun, saya perlu profesional dalam mengawal diri sebelum dapat memberi penerangan apa yang sedang berlaku supaya mereka dapat menerima dengan baik dan tidak mengganggu proses pemulihan yang sedang dijalani," katanya.

Oleh itu, Nadia menasihatkan bagi individu yang ingin terbabit dalam bidang ini, seseorang itu perlu memiliki jiwa suka menolong, mempunyai minat mendalam terhadap kerja sosial dan memahami trend semasa.

"Ikhlas dalam menjalankan amanah dan bekerja dengan sepenuh jiwa, mungkin kita akan bertemu keseronokan bekerja dalam bidang ini," katanya.

Jelasnya, kepuasan yang diperoleh dalam bidang ini adalah apabila melihat pesakit yang menjalani pemulihan dapat kembali berfungsi sebagai seorang manusia dan anggota masyarakat.

"Ada dalam kalangan bekas klien kami yang kini sudah mampu menjadi imam di masjid, menjadi usahawan dengan membuka perniagaan sendiri dan malah ada yang menjadi pembimbing rakan sebaya di AADK membantu memulih penagih lain,

"Bagi saya ini adalah satu kenikmatan dan kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata apabila melihat mereka kekal pulih dan kembali berfungsi kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:00 AM