Omar Ahmad


Johor Bahru: "Mujur semua sembilan kucing peliharaan sempat diselamatkan, kalau tak mungkin mereka dihanyutkan arus deras," kata Ayub Abd Hamid, 70.

Rumah pesara tukang kebun itu di Jalan Permatang 7, Kempas, di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang semalam.

Kata Ayub, semua kucing peliharaannya akan dibiarkan di luar kandang pada waktu tengah hari sehingga petang.

"Ketika air mula naik, saya dan isteri sibuk menyelamatkan kelengkapan rumah dan dokumen penting ke tempat selamat.

"Menyedari air semakin deras, saya bergegas mencari semua kucing dan mujur mereka tidak hanyut," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sempat menyelamatkan 10 ayam peliharaan apabila semuanya hilang dipercayai dihanyutkan arus deras berikutan rumahya terletak bersebelahan parit besar.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nor Aziah Anuar, 39 berkata hujan lebat dalam masa tidak sampai sejam, air sudah naik lebih satu meter.

AYUB bersama sembilan ekor kucingnya yang dapat diselamatkan dari hanyut dibawa arus deras selepas hujan lebat dan banjir kilat di rumahnya di Jalan Permatang 7, Kempas Johor Bahru.  FOTO Zain Ahmed
AYUB bersama sembilan ekor kucingnya yang dapat diselamatkan dari hanyut dibawa arus deras selepas hujan lebat dan banjir kilat di rumahnya di Jalan Permatang 7, Kempas Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Katanya, banyak kelengkapan rumah rosak kerana tidak sempat dipindahkan ke tempat tinggi berikutan air naik dengan cepat.

"Banyak barang rumah rosak seperti permaidani, sofa, peti ais dan mesin basuh serta pakaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 3:04 PM