MOHD Nor Hishamudin, (duduk tiga dari kanan) dan Tengku Muhamad Afiq (duduk tiga dari kiri) dikhuatiri lemas, manakala Muhammad Nazrin (berdiri kiri) selamat. FOTO Zaid Salim.
MOHD Nor Hishamudin, (duduk tiga dari kanan) dan Tengku Muhamad Afiq (duduk tiga dari kiri) dikhuatiri lemas, manakala Muhammad Nazrin (berdiri kiri) selamat. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


KEGEMBIRAAN 18 penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering berkelah di Pantai Pandak, Kuala Terengganu berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka hilang dikhuatiri lemas, hari ini.

Sebelum kejadian, 18 penuntut terbabit dikatakan ke pantai berkenaan, 5.30 petang.

Sebaik tiba di pantai, 14 daripada penuntut terbabit dikatakan mandi sebelum tiga daripada mereka dihanyutkan ombak.

Bagaimanapun seorang daripada mereka, Muhammad Nazrin Mat Asri, 20, dari Kelantan dilaporkan selamat, manakala dua lagi dikhuatiri lemas.

Mereka adalah Tengku Muhamad Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, dari Kelantan dan Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21 dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan, 6.40 petang.

“Sebuah jentera dari BBP Kuala Terengganu bersama 17 anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan.

Katanya, mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 8:50 PM