CHOW Kon Yeow menunjukkan jumlah pelaburan pembuatan diluluskan dari Januari hingga September 2020 berjumlah RM10.6 bilion ketika sidang media hari ini. FOTO Danial Saad
CHOW Kon Yeow menunjukkan jumlah pelaburan pembuatan diluluskan dari Januari hingga September 2020 berjumlah RM10.6 bilion ketika sidang media hari ini. FOTO Danial Saad
BERNAMA

Georgetown: Langkah menghentikan sementara operasi beberapa kilang di kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di sini amat perlu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 serta mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, langkah itu juga perlu dilakukan biarpun ia bakal memberi impak dan menyebabkan kerugian besar.

"Kita memahami operasi kilang itu akan terganggu selama beberapa hari atau beberapa minggu berikutan perlu menjalankan proses sanitasi dan sebagainya.

"Tetapi kerajaan negeri berpandangan langkah ini adalah baik kerana jika wabak Covid-19 tidak dapat dikawal dan menjadi lebih teruk, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin akan dilaksanakan yang mana akan menyebabkan operasi kilang terjejas lebih teruk," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Chow mengulas laporan media berhubung sekurang-kurangnya lima kilang di kawasan zon perindustrian bebas itu terpaksa ditutup akibat wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan kerugian jutaan ringgit yang turut memberi kesan kepada ekonomi negeri ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah berhubung dengan penggiat industri di zon berkenaan berhubung keperluan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di kilang masing-masing dan ia diterima baik serta difahami oleh pihak kilang.

"SOP yang perlu diperketatkan itu bukan sahaja membabitkan kawasan kilang tetapi perlu juga melihat keselamatan pekerja ketika di asrama serta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Kita berharap langkah yang diambil ini dapat memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 khususnya membabitkan pekerja kilang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 6:12 PM