Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perikanan Pahang akan mencari jalan terbaik bagi mengatasi serangan memerang hitam terhadap ternakan ikan sangkar di Sungai Pahang khususnya di Kuala Krau, Temerloh.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada penternak ikan yang menjadikan projek ternakan ikan sangkar sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

Menurutnya, ancaman kumpulan memerang hitam terhadap ternakan ikan sangkar beberapa kampung tradisional sepanjang Sungai Pahang di Kuala Krau berlaku sejak beberapa tahun lalu namun mula serius tahun ini.

"Selain makan ikan patin dan tilapia yang diternak, memerang itu turut merosakkan sangkar dengan menebuk lubang bagi tujuan untuk masuk dan ia menyebabkan ikan keluar dari sangkar.

"Jabatan akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dalam usaha menyelesaikan masalah berkaitan memerang hitam ini, mungkin keputusan terbaik dapat dibuat sebelum dilaksanakan dengan kerjasama penternak.

"Saya yakin kerjasama dua agensi dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan. Buat masa ini penternak perlu meneruskan aktiviti pengawalan di kawasan sangkar masing-masing," katanya dihubungi, di sini hari ini.

IKAN patin mati selepas serangan kumpulan memerang hitam di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau. FOTO MOHD RAFI MAMAT
IKAN patin mati selepas serangan kumpulan memerang hitam di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau. FOTO MOHD RAFI MAMAT

Beliau mengulas laporan portal Harian Metro semalam yang menyiarkan berita seorang penternak ikan sangkar di di Kampung Tanjung Kubu, Kuala Krau kerugian lebih RM17,000 dalam tempuh tujuh bulan tahjn ini berikutan serangan kumpulan memerang hitam.

Abdullah menambah, dia difahamkan menjadi kesalahan sekiranya memerang hitam di tembak atau di bunuh dan pelaku berdepan tindakan undang-undang di bawah Perhilitan.

"Penternak dinasihatkan supaya tidak bertindak menembak haiwan terbabit sebaliknya menggunakan kaedah yang sesuai untuk menghalang daripada memerang hitam menceroboh sangkar ikan.

"Jabatan juga mengalu-alukan cadangan bernas mana-mana pihak untuk atasi kehadiran haiwan terbabit dan mungkin memiliki inovasi baharu seperti peranti tertentu menggunakan teknologi moden yang dapat mengesan, menghalau atau menangkap memerang," katanya.

Berita berkaitan

Penternak rugi, memerang serang ikan sangkar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 9:54 AM