TANDUK biri-biri Afrika Selatan yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
TANDUK biri-biri Afrika Selatan yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang : Sejumlah 417 kilogram (kg) tanduk biri-biri dari Afrika Selatan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kerana tiada permit import MAQIS yang sah di Pelabuhan Klang Utara, pagi Jumaat lalu.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, pada 10.30 pagi ketika MAQIS menjalankan pemeriksaan rutin ke atas sebuah kontena dari Afrika Selatan, pihaknya menemui tanduk biri-biri itu yang diletakkan di dalam kotak.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, nilai keseluruhan kesemua tanduk biri-biri yang ditemui di dalam dua kotak besar itu dianggarkan bernilai RM19,544.57.

"Kesemua dagangan yang ditemui di dalam dua kotak besar itu ditahan dan dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, kemasukan hasilan haiwan tanpa permit dan sijil kesihatan veterinar boleh memberi risiko kepada industri ternakan haiwan.

"Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit import sah MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, pada kebiasaannya, tanduk biri-biri itu diimport untuk tujuan kraftangan, perhiasan bagi pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 11:54 AM